Buat suami2 dan isteri2 .. mari baca!!
TANGGUNGJAWAB SUAMI TERHADAP ISTERI
Suami adalah merupakan ketua yang akan memimpin dan mencorakkan sesebuah rumahtangga. Sikap suami mempunyai pengaruh yang akan besar terhadap suasana yang mesra, aman dan damai atau sebaliknya. Oleh itu, suami mestilah menjadi seorang yang benar-benar matang fikirannya, tahu tugas dan tanggungjawabnya, serta bersifat jujur dalam memimpin dan mengetahui rumahtangga yang baru dibina itu. Untuk melahirkan sebuah perkongsian hidup yang benar-benar bahagia maka Allah SWT sendiri menggariskan beberapa kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh suami terhadap isteri, antaranya ialah :
i. Wajib atas suami memberi mas kahwin kepada bakal isterinya. Firman Allah SWT maksudnya : “Berikanlah mas kahwin kepada wanita (yang kamu nikah) sebagai pemberian yang wajib”.
ii. Memberi nafkah zahir dan batin, nafkah zahir termasuklah :
a. Tempat tinggal / tempat kediaman bersama (suami dan isteri) iaitu rumah yang selayaknya yang memberi keselesaan dan keamanan.
b. Keperluan hidup iaitu makanan, pakaian dan peralatan yang munasabah dan selayaknya menurut kemampuan suami, sabda Rasulullah SAW maksudnya :
“Dan wajib ke atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) rezeki mereka dan pakaian mereka dengan baik. Tempatlah mereka di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu.”
iii. Bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, mesra dan kasih sayang. Firman Allah SWT, maksudnya:
“Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.”
iv. Hendaklah berlaku adil sekiranya suami itu mempunyai isteri lebih dari satu.
v. Suami berkewajipan menahan diri dari menyakiti, berlaku kasar dan sebarang perbuatan yang memudharatkan isteri tanpa sebarang sebab.
vi. Menjadi kewajipan suami untuk memberi keizinan kepada isterinya untuk menziarahi keluarganya (ibu bapa dan kaum keluarganya)
Demikianlah di antara kewajipan suami terhadap isteri, di samping itu sebagai yang kita maklum bahawa Allah menjadikan perempuan itu sebagai teman hidup yang paling rapat, hendaklah diberi layanan-layanan yang istimewa seperti berikut :
1. Suami hendaklah sentiasa bertimbang rasa, menunjukkan kasih-sayang terhadap isteri, bercakap dengan lemah lembut dan mesra, selalu bermuka manis dan janganlah bermuka masam atau sebagai singa yang garang terhadap mangsanya. Adalah menyedihkan setengah orang-orang jahil menyangka bahawa bersifat garang dan keras terhadap isteri itu adalah menunjukkan kelakiannya, dan ia menyangka berlemah-lembut terhadap isterinya adalah satu sifat yang hina dan memalukan, tetapi sebenarnya bersifat kasar adalah membawa isteri menjadi durhaka, sebaliknya bersifat lemah-lembut menyebabkan isteri kasih dan menghormatinya. Sanda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya, dan aku ialah orang yang sangat berlaku baik terhadap isteriku.”
2. Hendaklah suami memberi kelapangan perbelanjaan rumahtangga keperluan hidup yang selayaknya mengikut kemampuan yang sewajarnya. Jika suami terlalu bakhil terhadap rumahtangga maka diharuskan isteri mengambil sekadar yang diperlukan dari harta suaminya walaupn tanpa izinnya, sebagaimana Rasulullah sendiri memberi kebenaran tersebut kepada isteri Abu Sufian apabila ia mengadu kepada Rasulullah tentang kebakhilan Abu Sufian.
3. Hendaklah suami menguruskan segala urusan dengan sebaik-baiknya dan menggembirakan seperti apabila ia sakit, diberi rawatan perubatan yang secukupnya.
4. Pandu dan bimbinglah isteri dengan nasihat yang baik dan berilah contoh akhlak yang terpuji dan ajaran yang lemah lembut, Rasulullah sendiri menghuraikan hakikat ini dengan sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya wanita itu adalah tulang rusuk (bengkok), sekiranya engkau mahu membetulkannya ia akan patah dan jika engkau membiarkannya, engkau akan menikmatinya dalam keadaan bengkok.”
5. Berilah isteri haknya sebagai isteri bukan sebagai orang suruhan (hamba) atau sebagai babu, dan bukan sebagai boneka yang semata-mata untuk memenuhi nafsu kaum lelaki sahaja.
6. Hendaklah bersikap terus terang dengan isteri dan jangan sekali-kali mendustainya, kerana jika isteri didustai dia akan mendustai suaminya pula.
7. Sebagai suami (ketua keluarga) jangan memperturutkan sahaja apa kehendak isteri sehingga sampai merendahkan harga diri (mengikut di bawah telunjuknya sahaja, istilah sekarang “queen control”.
8. Dibolehkan suami memukul isteri untuk mendidik bukan untuk balas dendam. Dalam hal ini tidak memaki hamunnya apabila hendak memberi pengajaran kepada isteri dalam bentuk yang sopan atau pulaukannya (tinggalkan tempat tidur dan tidak tidur bersama-samanya).
Seandainya dapat dilaksanakan tanggungjawab yang sedemikian tentu Insya Allah suami dapat membawa rumahtangga ke arah kehormanian dan kebahagiaan.
TANGGUNGJAWAB ISTERI TERHADAP SUAMI
Kalau suami mempunyai hak dan kewajipan terhadap isterinya, maka isteri juga mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suaminya. Sesungguhnya tugas seorang isteri terhadap suaminya adalah sangat penting dan mesti dipatuhi sehingga pernah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Jikalau sekiranya ada perintah dari Allah SWT untuk menyuruh manusia sujud kepada manusia nescaya aku suruh isteri sujud kepada suaminya.”
(Hadis Riwayat At-Turmizi)
Antara tugas isteri ialah :
1. Jujur dan taat setia kepada suaminya dalam sebarang hal dan pekerjaan yang tidak berlawanan dengan hukum Islam.
2. Menyampaikan hajat suami kepadanya, iaitu perkara-perkara yang dibolehkan oleh Islam termasuk perkara yang mengenai hubungan kelamin, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud.
“Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur sedangkan isterinya menolak (tanpa uzur) sehinggalah suami itu tidur dalam keadaan marah dan kesal, malaikat akan melaknatkannya (isteri) hingga ke subuh.”
(Hadis Riwayat Abdul Rahman Bin ‘Auf)
3. Isteri mestilah berkelakuan sopan terhadap suaminya, wajib menjauhkan kata-kata yang menunjukkan kedurhakaan atau menyakitkan hati suami seperti memaki, mengomil (berleter) atau kata-kata yang tidak disukai oleh agama atau adat.
4. Janganlah memberati atau memaksa suami dalam soal nafkah seperti pakaian, wang ringgit dan tempat tinggal yang lebih dari ukuran yang wajib baginya kerana ia akan mendorong suaminya ke lembah curang seperti rasuah, curi, rompak dan sebagainya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Perempuan yang datang kepada suaminya dengan muka masam dan mengomil meminta belanka (lebih) atau mengadakannya maka tidaklah diterima Allah amalan perempuan seperti itu.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abi Hurairah)
5. Minta keizinian suami apabila hendak keluar dari rumah walaupun untuk menziarahi keluarga, ibu-bapa atau kerana menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Perempuan-perempuan yang keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya adalah ia di dalam kemurkaan SWT sehinggalah ia balik ke rumahnya atas suaminya redha akan dia.”
6. Hendaklah memelihara harta benda dan rumahtangga supaya bersih, rapi dan kemas serta isteri tidak boleh memberikan sesuatu harta benda suaminya kepada orang lain tanpa izinnya.
7. Segera meminta maaf apabila terlanjur mendurhaka kepada suami sepertimana yang dipraktikkan oleh Fatimah puteri Rasulullah SAW menurut sepotong hadis yang bermaksud:
Fatimah telah datang berjumpa ayahandanya Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dan mukanya berubah tanda penyesalan lalu bertanya Rasulullah SAW: “Kenapa wahai anakku, Fatimah?” Fatimah menjawab, “Ayahanda, kelmarin anakanda dengan Ali telah berseloroh (bergurau) sehingga terbit kata-kata anakanda yang menyebabkan Ali marah anakanda, anakanda menyesal kerana sebab mulut anakanda itu Ali menjadi marah, lantas anakanda meminta maaf darinya dan mengeliling dia sebanyak tujuh puluh dua kali sehinggalah ia memaafkan dan Ali pun tertawa serta redha”. Sabda Rasulullah kepada Fatimah,”Demi diriku yang telah diangkat oleh Allah sebagai Nabi, sesungguhnya engkau sekiranya meninggal dunia sebelum Ali redha atas kesalahan itu takkan ku sembahyang jenazah engkau”.
8. Jikalau suami tidak berharta dan isteri dari anak orang kaya janganlah isteri menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan harta yang diberikan bapanya sambil mengecilkan pemberian dari suaminya, serta berkata,”Apalah yang awak boleh berikan kepadaku dan tengok ini, itu dan sebagainya semuanya bapa berikan kepadaku”, isteri yang bersikap demikian terhadap suaminya. Pernah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Allah akan menghapuskan amalan perempuan itu sekalipun banyak amalan kebajikannya.”
9. Hendaklah isteri memakai pakaian yang cantik dan bersih di hadapan suaminya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perempuan-perempuan yang menghias diri kepada yang bukan suami atau muhrimnya adalah seperti lampu yang tidak bercahaya di akhirat kelak.”
10. Isteri wajib memelihara perasaan dan peraturan suaminya, isteri tidak boleh membenarkan masuk seorang lelaki atau perempuan yang tidak disukai ke dalam rumah. Jika isteri hendak berpuasa sunat ketika suaminya berada di rumah hendaklah meminta izin suami terlebih dahulu dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
11. Isteri hendaklah sentiasa memberi layanan baik kepada suaminya. Allah memberi ganjaran pahala yang berlipat ganda kepadanya sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam banyak hadis-hadisnya antara lain bermaksud :
a) “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”.
b) “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”
c) “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.
d) “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”.
e) “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”.
f) “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”.
g) “Apabila meninggal dunia seorang dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”. (Hadis Riwayat Tarmizi)
h) “Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”.
(Hadis Riwayat Anas Bin Malik)
Demikianlah hak dan tanggungjawab isteri terhadap suami dan rumahtangga serta ganjaran pahala dari Allah SWT kepada seorang isteri yang solehah. Apabila suami dan isteri melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing maka lahirlah rahmat dan kasih sayang yang akan menghasilkan kebahagiaan bersama seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT di dalam firmanNya, maksudnya:
“Dan di antara keterangan tanda-tanda Allah bahawa ia menjadikan isteri dari kamu untuk kamu tinggal bersama dalam keadaan kasih sayang, cinta mencintai serta mendapat kerahmatan, sesungguhnya tentang yang demikian itu adalah tanda kebesaran Allah SWT bagi kamu yang mahu berfikir.”
Apabila tanggungjawab masing-masing dapat dilaksanakan maka di sana ada pula tanggungjawab bersama yang mesti diawasi dengan rapi yang juga merupakan factor-faktor penting dalam mewujudkan rumahtangga bahagia, antara lain:
i) Anak-anak yang didapati hasil dari perkongsian hidup suami isteri hendaklah diberi pendidikan yang sempurna sama ada dari segi rohani, jasmani dan akalnya atau dalam erti kata yang lain ditanam dalam dirinya iman dan takwa menjalani hidup di dunia ini.
ii) Hendaklah masing-masing menghormati orang tua kedua belah pihak sekiranya mereka masih hidup.
iii) Hormati dan berbaik-baik dengan jiran tetangga kerana sekiranya suasana di dalam rumah penuh harmoni tetapi dengan jiran bermusuh, kebahagiaan tidak juga terlaksana dengan sempurna. Sebab itu baginda Rasulullah SAW sendiri menyatakan bahawa antara syarat kebahagiaan seseorang anak Adam ialah jiran yang soleh (baik).
~~If we really our doing part.. InsyaAllah bahagia hingga ke syurga~~
3 comments:
ececehhhh....kata2 seorang isteri ;) apa yg penting??? kerjasama!!!
mmg pon...harus la bekerjasama kan...
tq 4 share:-)
ili: btul btul betul!
gee : pleasure dear.. itu la baik nya blogging ni rite?
Post a Comment