Sistem hafazan dan murajaah saya bahagikan kepada tiga . Pertama dinamakan tasmi’, kedua sabqi dan ketiga muraja’ah. Saya perincikan sebagaimana di bawah.
Tasmi’ :
Merupakan hafazan baru yang akan anda perdengarkan setiap hari kepada guru anda. Tasmi’ juga dikenali dengan nama “ sabaq ”. Ia bermaksud hafazan baru. Hafazan baru adalah bergantung kepada kemampuan dan keupayaan seseorang pelajar. Kebiasaanya adalah satu atau dua muka. Bagi yang mampu mendapatkan dua muka ( sehelai ) untuk setiap hari secara istiqamah, saya golongkan dalam golongan yang excellent. Bagi yang mampu istiqamah semuka saya kira sebagai golongan sederhana dan bagi yang mendapat kurang daripada itu boleh dikelaskan sebagai lemah.
Sabqi :
Merupakan i’adah atau ulangan pada juzu’ yang sedang anda hafaz. Bagi pelajar Darul Quran, seringkali pelik dengan istilah ini apabila saya sebutkan kepada mereka. Teknik ini terkadang tidak popular dan tidak digunakan secara rasmi di sesetengah Maahad Tahfiz. Namun bagi saya ia adalah bahagian yang sangat penting. Contoh mudah untuk anda faham ; sekiranya anda sedang menghafaz juzuk 5 mukasurat ke 8 iaitu helaian yang keempat, maka muka surat 1 sehingga muka surat ke 7 dinamakan sebagai Sabqi. Ia juga dikenali dengan nama “ para sabaq ”.
Muraja’ah :
Merupakan ulangan anda bagi juzuk2 yang telah anda hafaz. Contohnya anda sedang menghafaz juzuk 5, maka juzuk 1 sehingga 4 dinamakan sebagai murajaah. Ia juga dikenali dengan nama “ i’adah ”dan “ manzil ”.
MEMAHAMI KEPENTINGAN TASMI’, SABQI DAN MURAJA’AH
Sebagai seorang penghafaz Al-quran , ketiga2 sistem di atas merupakan perkara wajib yang akan dilalui oleh anda. Justeru, di peringkat permulaan saya nyatakan , adalah teramat penting untuk seorang penghafaz Al-Quran itu memahami sejelas2nya tentang kepentingan setiap sistem tersebut.
Kepentingan Tasmi’ :
Perkara asas yang sedia dimaklumi oleh semua penghafaz Al-Quran. Jika tiada hafazan baru, bagaimana untuk menamatkan hafazan 30 juzu’. Cuma persoalannya adalah sama ada cepat atau lambat, banyak atau sikit dan rajin atau malas.
Bagi saya, kadar yang paling baik adalah sederhana atau pertengahan. Jangan terlalu ghairah untuk tergesa2 dan menghantar tasmi’ dengan begitu banyak. Jangan pula terlalu lembab atau ‘penakut’ dengan menghantar tasmi’ ‘ala kadar’ sahaja.
Manusia sebenarnya diciptakan dengan sifatnya yang sentiasa menyukai benda baru. Sentiasa pula inginkan sesuatu yang baru dan mudah jemu dengan yang lama. Ini tiada kaitan dengan poligami ye ( selingan ). Lumrah dan sifat ini seringkali mendorong seseorang penghafaz Al-Quran itu untuk menambah dan menghantar hafalan barunya sebanyak mungkin. Saya tidak katakan ianya negatif. Mungkin juga ia satu fenomena bersifat positif dan membina. Tetapi saya tekankan, ianya sangat2 negatif bilamana penghafaz Al-Quran itu mula mengabaikan murajaah dan hanya ghairah mengejar hafalan baru. Hasilnya? Semakin banyak dihafaz semakin banyak yang dia lupa.
Kepentingan Sabqi atau Para Sabaq :
Komponen atau sistem dalam hafazan yang sangat jarang diambil berat dan paling kerap diabaikan oleh sejumlah penghafaz Al-Quran. Antara faktornya ialah
- Tidak tahu tentangnya
- Merasakan ianya tidak penting
- Menyamakan ianya dengan muraja’ah, manzil atau i’adah
Secara peribadi saya nyatakan, Sabqi amat2 penting dan WAJIB diambil berat oleh para penghafaz Al-Quran. Sabqi TIDAK SAMA dengan muraja’ah.Antara faktor kenapa anda gagal mendapat muraja’ah dan i’adah dengan baik adalah disebabkan anda tidak menitikberatkan persoalan Sabqi. Saya menjalani sistem ini dan sangat memberi perhatian kepada ulangan Sabqi saya sehingga tamat menghafaz Al-Quran.
Cuba fikirkan, secara ringkas saya bawakan contoh. Anda biasanya menghafaz atau mendapatkan hafazan baru pada waktu malam sebanyak satu muka, dua muka atau lebih. Biasanya selepas maghrib anda akan fokus untuk hafaz dan sebelum tidur anda telah pun mendapat target yang anda mahukan. Kemudian hafazan tersebut akan di ‘kemas’kan secara rapi selepas subuh sehinggalah anda masuk ke kelas pagi untuk tasmi’. Semestinya perkara pertama bila menghadap guru anda di waktu pagi adalah untuk tasmi’ hafazan baru.
Baik, perhatikan pula kepada minda dan ingatan anda waktu itu. Hanya hafazan baru yang menguasai ingatan. Pastinya waktu sebelum masuk tasmi’, anda benar2 ‘nampak’ susunan ayat2 dalam kepala. Kemudian barulah anda tasmi’ dengan lancar. Adakah selepas tasmi’ semuanya patut berakhir? Jawapannya adalah TIDAK. Tetapi kesilapan yang sering anda lakukan adalah menjawab YA. Semuanya anda akhiri selepas tasmi’.
Kenapa? Kerana anda tidak perlu menghantar Sabqi kepada guru anda. Anda tidak mempunyai ‘paksaan’ untuk itu. Anda akan kembali ke tempat duduk, kemudian mula mengulangi muraja’ah dan i’adah. Sedarkah anda, andainya selepas zohor atau selepas asar anda diminta membacakan ayat2 yang pada sebelah paginya anda dapat tasmi’ dengan lancar dan baik, anda sekali2 TIDAK AKAN dapat membacanya bahkan mengingatinya dengan baik? Semuanya berterabur dan ‘tak nampak’. Sudah saya nyatakan sebabnya, iaitu kelompangan pada Sabqi.
Otak anda boleh dibahagikan kepada tiga. Bahagian depan, tengah dan belakang.
Kenapa paginya anda boleh tasmi’ dengan baik tetapi petangnya apa yang anda tasmi’ pagi tadi telahpun anda lupa? Kerana hafazan pagi tadi hanya berada dibahagian hadapan otak anda, bukan masuk ke tengah jauh sekali ke belakang. Senang kata, hanya “bermain2 di depan pintu masuk”. Bila2 masa sahaja ia akan keluar balik. Bagaimana untuk menjadikan hafazan baru anda itu dapat masuk ke belakang atau sekurang2nya ke tengah?
Caranya adalah, selepas anda tasmi’ yang baru ( samada semuka, dua muka atau lebih ) anda kembali ke tempat duduk, ulang semula hafazan tersebut dan campurkan dengan tasmi’ anda yang semalam , kelmarin sehinggalah ke awal juzu’. Perhatikan ; kiranya anda baru sahaja menghantar tasmi’ mukasurat ke 12 juzuk 6, maka anda perlu ulang balik kesemua 12 mukasurat juzuk 6 itu dan lebih baik kalau anda dapat hantar Sabqi itu untuk disemak oleh ustaz. Saya berani katakan bahawa,SABQI LEBIH SUSAH UNTUK DIULANG BERBANDING MURAJA’AH. Kebiasaannya, tasmi’ semalam dengan kelmarin sudah terbang entah ke mana. Justeru berhati2 dan tolong berikan perhatian sewajarnya pada Sabqi anda.
Kepentingan Muraja’ah atau Manzil atau I’adah :
Sistem ini umumnya diketahui dan diamalkan secara konsisten oleh kebanyakan Maahad Tahfiz. Umumnya semua penghafaz Al-Quran tahu tentangnya dan kepentingan i’adah untuk diri mereka.
Bagi anda yang murajaah anda dikawal oleh guru kelas anda, banyakkan bersyukur meskipun anda rasa tertekan dan sebagainya. Cuma yang bermasalah adalah yang amanah muraja’ah adalah di bahu mereka sendiri. Situasi ini berlaku pada sesetengah Maahad Tahfiz yang tiada sistem murajaah dan juga kepada penghafaz Al-Quran yang telah khatam menghafaz Al-Quran. Mereka2 inilah yang sangat susah mendisiplinkan diri mereka untuk murajaah segala juzuk2 yang telah mereka hafaz. Sudahlah tak masyi, ditambah pula dengan sikap sambil lewa dan malas, akhirnya beban amanah juzuk2 yang dihafaz terabai sebaliknya sibuk mengejar benda2 yang lain.
Nasihat saya, tolong dan tolong, buatlah jadual murajaah untuk diri sendiri secara konsisten dan disiplinkan diri anda dengan jadual tersebut. Malas macam mana sekalipun, pastikan anda ulang sekurang2nya setengah juzuk dengan baik dan benar2 ingat. Anda sendiri tahu betapa pentingnya menjaga muraja’ah.
No comments:
Post a Comment